Loading...
Info

Tips Cara Mudah Nak Pergi Haji Dengan Cepat

Tips Cara Mudah Nak Pergi Haji Dengan Cepat

Berpeluh juga nak setup semula pondok usang tak seberapa ini , memang agak payah sebenarnya nak update artikel dengan komitmen pada kerja yang harus diberi 100% yang hampir buat blog www.wooferstorm.com hampir berkubur. Namun mungkin belum tiba masanya lagi untuk saya mengalah , buktinya walaupun saya terpaksa format segala artikel dahulu dan terpaksa bermula semula. sedih tetap sedih,namun terpaksa terpaksa diteruskan kerana saya tidak dapat nak access masuk ke blog hatta dengan cara login cPanel . Apapun terima kasih atas bantuan Netkl.Com yang tidak jemu membantu saya. Terima kasih Sekali Lagi .

Artikel kali ini mungkin lebih bermanfaat buat anda di luar sana yang mungkin mempunyai keinginan untuk pergi naik haji .Saya dengan sukacita ingin berkongsi tentang cara-cara mudah nak pergi haji dengan cepat yang saya jumpa di laman sosial .Mungkin panduan ini tidak berguna buat anda, namun manatahu berguna buat ahlia keluarga mahupun rakan anda diluar sana..jadi jangan lupa share artikel ini ya jika bermanfaat .

Tips Cara Mudah Nak Pergi Haji Dengan Cepat

Hah! Tahun 2081 baru dapat pergi haji? Umur saya sekarang (tahun 2016) sudah 30 tahun. Maksudnya saya dapat pergi haji ketika berumur 95 tahun?

Nampak gaya macam peluang tipis nak pergi haji kalau tunggu giliran. Persoalannya, benarkah mustahil untuk kita pergi haji sebelum giliran yang diberikan?

Seorang pengguna FB telah menulis dalam akaun FBnya tips bagaimana dapat pergi haji lebih awal daripada tahun giliran yang sebenarnya.

TIPS PERGI HAJI DI USIA MUDA.

Tahukah anda? Kalau anda baru mendaftar haji dalam masa terdekat ini, giliran anda menunaikan Haji adalah pada tahun 2100 ke atas? (Diberitahu dalam kursus Haji Perdana baru-baru ini.) Sanggup anda menunggu sepanjang tempoh itu?

Jangan risau. Itu cuma anggaran tahun. Tak mustahil boleh dipercepatkan lagi dengan izin Allah. Di sini saya nak kongsikan beberapa langkah yang boleh kita usaha demi mendapatkan giliran haji ketika usia muda atau sekurang-kurangnya untuk “lajukan” giliran kita. Cara-cara ni semuanya inshaAllah boleh dilakukan oleh anda semua. Saya tulis ringkas dalam bentuk point sahaja ya, supaya lebih jelas dan mudah difahamkan. Ada 4 langkah semuanya;

1) Buka akaun Tabung Haji.

2) Daftar Haji. Untuk mendaftar, anda perlu ada sekurang-kurangnya RM1300 di dalam akaun Tabung Haji. Kemudian anda akan diberi jangkaan tahun berapa anda bakal menunaikan haji. Lokasi untuk mendaftar: Di mana-mana cawangan TH, laman web TH, Cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat, ATM / CDM Maybank, atau ATM BIMB

3) Kumpulkan duit sekurang-kurangnya RM10k. Mungkin part ni kita akan rasa susah sedikit. Tapi kalau kita memang betul-betul bersungguh nak capai RM10k tu, inshaAllah tempoh menunggu tu tidak lama jika kita konsisten menabung. (Contoh cara menabung akan diberitahu di akhir artikel).

4)
a)Bila duit dalam akaun anda dah cukup RM10k, anda dah boleh mula buat rayuan. Kalau tak cukup RM10k pun sebenarnya boleh merayu, tapi kebiasaannya pihak Tabung Haji akan melihat adakah wang kita sudah mencukupi untuk membayar pembiayaan haji. Dikhuatiri jika rayuan diluluskan, tiba-tiba duit belum cukup, jadi tawaran perlu ditolak dan perlu diganti dengan orang baru. Jadi sebaiknya anda cukupkan dahulu RM10k tersebut di dalam akaun anda.

b) Setiap tahun, Tabung Haji akan membuka kaunter rayuan Haji. Anda perlu alert bilakah tarikh kaunter ini dibuka. Ia tidak dibuka sepanjang tahun. Ketika inilah ramai orang akan mula menulis surat rayuan dan menyatakan sebab-sebab kukuh mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan mereka. (untuk surat rayuan ini, cubalah beri alasan dan sebab yang kuat mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan anda).

c) Kalau anda nak tahu, untuk Haji tahun ini tahun 2016, ada sekitar 2500 orang sekitar Lembah Klang yang dijadualkan akan menunaikan haji, namun selepas ujian pemeriksaan kesihatan, 60% tidak lulus (atas faktor kesihatan) dan tidak dapat meneruskan proses seterusnya untuk menunaikan haji. Bermakna, ada banyak kuota baru yang kini kosong! Itu baru cerita di Lembah Klang, pastinya setiap negeri setiap daerah akan ada kuota kosong yang perlu diganti dengan orang lain. Mungkinkah anda orangnya? Tak mustahil.

d) Ada lagi kuota kosong pada setiap tahun akibat kematian. Iaitu apabila calon haji itu meninggal sebelum sempat menunaikan haji pada tahun tersebut. Jika yang meninggal itu lelaki, dan dia pada asalnya mahu menunaikan haji dengan isterinya, bermakna kuota isterinya juga perlu diganti dengan orang lain. Kerana wanita yang kematian suami, di dalam tempoh iddah, tidak boleh menunaikan ibadah haji.

e) Nak lagi kuota kosong? Yang ini mungkin tidak terlalu banyak, tetapi biasanya tetap ada, iaitu wanita yang hamil sebelum berangkat menunaikan haji. Jika dia sepatutnya menunaikan haji pada tahun sekian-sekian, tetapi ditakdirkan dia hamil sebelum berangkat, maka pihak Tabung Haji tidak akan membenarkannya menunaikan haji. Jadi akan ada lagi kuota kosong untuk anda.
Jadi jelaslah di sini bahawa sebenarnya ada sangat banyak peluang untuk anda mendapatkan kuota haji dan tidak perlu menunggu giliran tahun yang asalnya ditetapkan oleh pihak Tabung Haji untuk anda. Boleh jadi giliran anda pada asalnya ialah tahun 2048, tapi pada tahun 2018 anda sudah berjaya mendapatkan giliran setelah membuat rayuan. Tidak mustahil, dengan izin Allah.

Tentang bilakah tahun yang anda akan dapat tu, ia bergantung kepada Allah, Allah melihat usaha kita, dan percayalah, Allah tidak akan mensia-siakan setiap usaha hambaNya. Namun jika giliran itu tetap juga tidak datang seawal yang anda harapkan, usahlah kecewa, teruskan berusaha, teruskan membuat rayuan SETIAP TAHUN dan yang pasti, berdoalah di sepertiga malam tentang hasrat anda untuk mengunjungi rumahNya, buktikan anda betul-betul mahu ke sana.

Ibadah haji bukan milik orang kaya. Ia milik semua. Ada orang kaya yang tidak dapat pergi kerana masalah kesihatan, ada orang yang kurang kaya tapi dapat juga akhirnya menunaikan haji kerana gigih menabung serta tidak henti berdoa. Allah yang berhak pilih siapakah tetamuNya, maka buktikanlah kepada Dia bahawa anda sungguh-sungguh mahu ke sana dengan segera, ketika umur masih muda dan jasad masih kuat.

Nota cara menabung secara ringkas:

1) Untuk menabung dalam tempoh 8 tahun: RM25 seminggu atau sehari RM3.60 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM25 x 52 minggu = RM1300. RM1300 x 8 tahun = RM10400). Atau, nak lagi cepat?

2) Untuk menabung dalam tempoh 4 tahun: RM50 seminggu atau sehari RM7.14 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM50 x 52 minggu = RM2600. RM2600 x 4 tahun = RM10400).

Kesimpulannya kalau sekarang umur anda masih di awal 20-an, tak mustahil sebelum umur 30 anda sudah boleh menunaikan haji, atau selewat-lewatnya sebelum anda mencecah 40 tahun, inshaAllah fizikal masih sihat ketika itu.

P/s: Atau nak cara lebih cepat untuk dapat kuota haji, kahwinlah dengan orang yang giliran hajinya tidak lama lagi. Jika suami sahaja yang mendapat tawaran, isteri boleh buat rayuan dan kebiasaannya pihak Tabung Haji akan luluskan permohonan tersebut tapi pastikan RM10k tersedia di dalam akaun Tabung Haji. Dan untuk kes isteri (yang berumur 44 tahun ke bawah) yang mendapat tawaran haji, suami tak perlu risau kerana secara automatik suami akan dapat pergi bersama isteri kerana si isteri wajib ada mahram.

Silakan share untuk manfaat bersama atau sebagai rujukan anda pada masa hadapan.

[Edited: Tambahan tips dari saudara Syafiq Kamil. –> Saya berminat untuk tambah info sikit. Bagi yang nak daftar haji, tapi belum cukup wang permulaan sebanyak RM1300, anda hanya perlu print penyata KWSP anda yang terkini dan bawa bersama ketika mendaftar di kaunter TH. Buka akaun TH cuma bayar RM10, manakala daftar haji pula PERCUMA (asalkan ada penyata KWSP). Yang penting daftar siap2, insyaAllah rezeki akan datang kemudian. Dah cuba, memang senang. Pihak TH juga minta war-warkan perkara ini. Terima kasih.]

Sumber: https://www.facebook.com/norsajidahzulkafli/posts/987407738038465

BAGAIMANA MAHU BUAT RAYUAN PERGI HAJI?

Untuk permohonan rayuan haji, sila kemukakan surat rayuan dalam format surat rasmi yang lengkap bertandatangan kepada:

Bahagian Operasi Domestik,

Lembaga Tabung Haji,

Lantai 30,

Bangunan Ibu Pejabat TH,

201 Jalan Tun Razak,

50732 Kuala Lumpur.

Isi kandungan surat rayuan:

Nama penuh
Nombor akaun TH
iii. Nombor MyKad

Tujuan rayuan
Tandatangan

Bakal Haji juga boleh melampirkan dokumen berkaitan sebagai sokongan kepada rayuan tersebut.

Contoh Surat Rasmi Rayuan Haji 1437H.

Rogayah binti Mokhtar

Lot 1234, Jalan Sinar

Kampung Harapan

84000 Muar

Johor

18 Disember 2015

Kepada,

Bahagian Operasi Domestik,

Lembaga Tabung Haji,

Lantai 30,

Bangunan Ibu Pejabat TH,

201 Jalan Tun Razak,

50732 Kuala Lumpur.

Tuan/Puan,

RAYUAN UNTUK MENDAPAT TEMPAT MENUNAIKAN HAJI PADA MUSIM 1437H/2016M

NAMA PENUH: ROGAYAH BINTI MOKHTAR

KAD PENGENALAN: 450101-01-0400
No AKAUN TH: 12345678

___________________________

Perkara di atas adalah dirujuk.

Saya memohon jasa baik dan budi bicara yang ikhlas daripada pihak tabung Haji agar dapat menawarkan tempat kepada saya untuk menunaikan Haji pada tahun 1437H atau 2016 Masihi.

Saya memohon dipercepatkan kerana usia yang telah lanjut (70 tahun) dan saya telah 5 kali menjalani Kursus Haji tetapi masih dalam senarai menunggu. Simpanan saya juga telah mencukupi untuk menunaikan haji dalam waktu terdekat ini.

Semoga pihak tabung haji dapat menunaikan rayuan saya yang tersebut di atas.

Sekian, terima kasih.

Yang Mengharap,

(ROGAYAH BINTI MOKHTAR)

No K/P: 450101-01-0400

Surat rasmi rayuan tersebut boleh dihantar ke Tabung Haji Contact Center (THCC) melalui:

e-mel – th-info@lth.gov.my,
faks 03-77284959, atau
iii. menghantar surat rayuan haji ke cawangan TH berhampiran.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Tabung Haji Contact Center (THCC) di talian 03-62071919 – THCC

#tipshaji
#impianterbesarku
#mariberdoasemogakitasemuadapatmenunaikanhajisecepatmungkindansihattubuhbadan
#doakansayafatimahabdghanidapatmenunaikanhajisecepatmungkin

Sumber : Facebook

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *